Wednesday, August 31, 2011

ANUGERAH CINTA

Cinta adalah perasaan yang dicampakkan oleh Allah swt ke dalam hati semua manusia, samada tua atau remaja,kaya atau miskin, mulia atau hina pasti mempunyai perasaan untuk dicintai atau menyintai. Daripada cinta akan membenihkan perkahwinan dan seterusnya akan berkembang subur sehingga lahir satu masyarakat. Kekecewaan, kegembiraan, perpisahan, perkahwinan dan kematian sering dikaitkan dengan cinta. Sesungguhnya cinta adalah satu perasaan yang kadang kala hadir tanpa diundang. Tapi, apa yang sering terjadi, cinta sering disempitkan konsep dan perspektifnya.

Rabiatul Adawiyah tenggelam dalam mahabbahnya yang dalam kepada Allah. Hamzam Fansuri, seorang tokoh dari aceh, juga tenggelam oleh tasawwuf falsafah yang berlandaskan kepada teori Wahdatul Wujud yang dibawa oleh Ibn’Arabi. Ini juga cinta. Cinta Rasulullah kepada Siti Khadijah r.a tidak sama seperti cintanya kepada Aisyah r.a. Siti Khadijah adalah lambang pengorbanan dan kesetiaan yang luhur. Abu Sufian menyatakan ‘ Tidak aku jumpai orang yang lebih mencintai manusia selain Rasulullah’. Futhil bin ‘Iyadh, yang asalnya merupakan seorang perompak, sanggup memanjat tembok yang tinggi demi kerana cintanya kepada kekasih beliau seorang jariah. Namun nun di tembok itu beliau telah menemui hidayah.